5 Apr 2015

Opah sentiasa di Ingatan

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.

Bila baca tajuk, mesti orang tertanya-tanya kan? Siapalah opah ni? Apalah huhungan dia dengan empunya blog ni?

Opah merupakan nenek sebelah ayah saya. Kebiasaannya, panggilan opah ni digunakan oleh orang-orang Perak untuk membahasakan diri mereka pada cucu.

Okay. Sampai situ je penerangan untuk panggilan opah. Balik kepada cerita semula.
Opah menjaga saya daripada saya kecil sewaktu mak dan ayah saya keluar untuk mencari rezeki bagi menyara kami sekeluarga. Opah jaga saya dengan penuh rasa kasih. Tak pernah saya rasa lapar atau tak selesa sepanjang saya berada di bawah jagaan opah. Jasa opah menjaga saya, takkan saya lupakan.

Pada tanggal 28 Febuari 2015, opah koma selepas menjalani pembedahan kamera untuk buang batu dalam hempedu. Selepas menolong jiran kenduri, kami sekeluarga lekas pergi ke hospital untuk melihat keadaan opah.

Sayu rasa hati bila tengok keadaan opah. Tuhan je yang tahu apa yang saya rasa masa tu. Saya masuk ke Ward ICU di HUKM untuk melihat opah. Berselirat wayar yang dipasang pada opah.

Saya mendekati tubuh opah yang kaku di atas katil ward. Saya sentuh tangannya, terasa sejuk. Saya mulakan bicara. " Opah, diyana dan Q datang ni". Q tu suami saya. Saya dah tak dapat menahan sebak, saya terus menangis. Ditenangkan oleh suami tercinta. " Jangan tunjuk kesedihan kita. Tapi tunjuk yang kita kuat supaya opah pun akan jadi kuat dan sedar kembali". Itu yang suami katakan.

Saya kesat airmata. Pergi semula dan bercakap dengan opah. Tiada respond. Saya minta izin untuk keluar sebentar. Saya pergi ke tandas. Menangis. Ha ya tu je mampu.
Hati mana yang tidak sedih, nenek yang selama ini sentiasa ceria dan ada saja celotehnya, kini kaku tanpa suara.

Sebulan berlalu, pada tanggal 28 Mac 2015 yang merupakan hari lahir ayah saya yang ke 55. Opah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 10.25 mlm di HUKM di samping anak-anak dan cucu-cucu. 

Suasana menjadi hiba. Semua menangis kerana kami kehilangan seorang nenek, emak bagi ayah dan makcik pakcik saya. Saya rasa kosong. Tak tahu apa yang perlu difikirkan saat itu.

Saya pulang kerumah kerana masih perlu berehat kerana esok memerlukan kudrat lebih untuk pengebumian. Saya dan mak masuk ke Bilik Mayat untuk melihat opah untuk kali terakhir. Sayu. Seakan semangat saya untuk berjaya pergi bersama jasad opah yang kaku.

29 Mac 2015, jenazah opah di bawa ke Tanah Perkuburan Precint 21, Putrajaya. Ramai sanak saudara hadir untuk memberi penghormatan terakhir pada opah. Saya tetap rasa kosong. Tak tahu sama ada saya sedih atau apa. Yang saya tau, saya rasa kosong.

Seminggu, saya perlukan masa untuk mencari kekuatan untuk menulis entry ni. Saya kembali bersemangat untuk berjaya. Saya nak jadi kaya dan berjaya supaya saya mampu memberikan yang terbaik untuk mak dan ayah bila mereka perlukan nanti.

Buat opah, terima kasih sebab jaga diyana daripada kecil hingga besar. Terima kasih atas semua kasih sayang yang oaph berikan. Diyana sayang opah. Diyana doakan opah di tempatkan dikalangan orang-orang yang disayangi Tuhan. Mesti opah happy kan sebab opah dah jumpa atok. Hajat opah untuk dikebumikan satu tempat dengan atok pun, kami dah tunaikan. Semoga opah tenang di sana.

Al-Fatihah.

1 comment:

  1. Takziah dear.
    Semoga arwah ditempatkan bersama org2 beriman. amin

    ReplyDelete

Elegant Rose - Working In Background
Copyright to RIZNINA.COM
Designed by UMIESUEstudio 2015