1 Jun 2015

Resepi Ayam Percik yang Super Lazat

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera buat pembaca Riznina.com.

Harini saya akan share resepi ayam percik. Sempena bulan Ramadhan yang semakin menghampiri ni, ayam percik ni memang juadah berbuka yang sangat membuka selera. Okay, jom kita tengok bahan yang diperlukan dan cara penyediaannya.



Bahan-bahan :

1 liter santan diperah daripada 1 biji kelapa parut yang dicampurkan air 1 liter
1 ekor ayam , dibelah dua
10 batang serai, diketuk 
2 1/2 inci lengkuas, kupas kulit, hiris nipis dan ketuk
1/2 helai daun kunyit, racik halus
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa

Bahan Pes Rempah :

3 biji cili merah, buang biji
4 biji bawang merah, kupas kulit
3 ulas bawang putih, kupas kulit
1 inci halia, kupas kulit
1 inci kunyit hidup
10 biji buah keras
1 sudu teh biji halba

Cara Penyediaan :
  1. Satukan bahan pes rempah ke dalam pengisar dan kisar halus. Masukkan ke dalam periuk besar dan masukkan santan. Kacau hingga mendidih. Reneh hingga santan pecah minyak dan patinya terasing.
  2. Masukkan ayam, serai dan lengkuas. Kacau perlahan hingga ayam disaluti dengan pati kuahnya. Perisakan dengan garam dan gula. Renehkan lagi 30 minit . Tambahkan air untuk mengelakkan ayam daripada melekat. Pastikan paras air di dalam periuk sepatutnya kering sedikit.
  3. Keluarkan ayam dari kuahnya dan bakar di atas bara atau gril dalam ketuhar selama 10 minit. Tuang kuah ke atas ayam semasa dalam pembakaran. Letakkan ayam di atas pinggan.
  4. Alih kembali kuah ke dalam periuk. Masakkan semula kuah dengan api sederhana. Kacau sehingga kuah itu pekat dan mudah melekat pada ayam apabila dijirus kuah ke atas ayam. 
  5. Alihkan kuah dari api dan sudukan kuah pekatnya ke atas ayam. Hiaskan mengikut selera dengan daun kunyit.

Selamat mencuba!


Elegant Rose - Working In Background
Copyright to RIZNINA.COM
Designed by UMIESUEstudio 2015