13 Jul 2016

Kasih Sayang Ayah Membawa ke Syurga

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera buat pembaca Riznina.com.

Tahun ni, saya langsung tak aktif dalam penulisan blog. Tahun yang sibuk dan penuh dengan kesedihan. Tapi, kini saya bangkit selepas mempunyai kekuatan yang agak kukuh untuk kembali ke dalam dunia blogging.

Lebih kurang 3 bulan lalu, saya kehilangan seorang insan yang gigih, sabar dan tabah membesarkan saya dan adik beradik yang lain yang kami gelar "Ayah". Ayah meninggal dunia pada 5 April 2016 pada jam 6.40 pagi kerana salur darah ke jantung gagal berfungsi. Sebelum ni, ayah tak pernah sakit ataupun memang disahkan menghidap sakit jantung. 


Saya masih berada di dalam situasi terperanjat sehingga sekarang. Kehilangan ayah seawal umur 24 tahun bukan keadaan yang saya duga. Saya percaya, aturan Allah S.W.T. hebat. Saya redha. 

Saya ada sedikit coretan buat ayah, walaupun saya tau, ayah takkan membaca coretan saya, biarlah ianya menjadi kenangan.





Duhai Ayah,
Hadirmu dalam hidupku bukan di atas pilihanku,
Tapi diatas takdir Tuhan yang Satu.

Duhai Ayah,
Terima kasih di atas setiap inci kasih sayangmu selama ini,
Akan aku rindukan semua itu.

Duhai Ayah,
Maafkanlah aku kerana aku sering melukakan hatimu,
Wallahi, bukan itu niat hatiku.

Duhai Ayah,
Sesungguhnya aku rindu,
Rindu gelak tawa, senyuman dan suaramu.

Duhai Ayah,
Betullah apa yang orang kata,
Dalam ramai-ramai lelaki, hanya Ayah yang tak mungkin lukakan hatiku.

Duhai Ayah,
Dengarlah anakmu,
Anak yang sentiasa merinduimu setiap saat.

Duhai Ayah,
Ketahuilah kasih sayangmu takkan pernah luput di ingatan,
Hangat pelukanmu juga masih aku rasa,
Setiap nasihatmu akan aku ingati
Dan saat aku menulis ini, 
Airmatku mengalir laju.

YaAllah,
Ampunilah dosa ayah,
Terangilah kuburnya,
Ringankanlah azab kuburnya,
Lapangkanlah kuburnya,
Kasihilah ayah sepertimana ayah mengasihi kami sejak kami kecil.

Ya Allah,
Tempatkanlah ayah dikalangan orang-orang yang beriman,
Sayangilah ayah sepertimana ayah menyayangi kami sejak kami kecil
Sesungguhnya aku rindu ayah, Ya Allah.

Duhai Mak,
Sabar dan tabahlah kerana Ayah berada di sisi PenciptaNya,
Aku janji takkan pernah berganjak dari sisi Mak selagi hayat dikandung badan.

Rakan-rakan blogger, semoga kalian menghargai ibu bapa yang kalian miliki kerana ianya tak mungkin ada gantinya.

Al-Fatihah.



Insan kerdil,
Diyana Isa
Elegant Rose - Working In Background
Copyright to RIZNINA.COM
Designed by UMIESUEstudio 2015